Thursday 24 March 2011

WAKAF-WAKAF PERSINGGAHAN


WAKAF-WAKAF PERSINGGAHAN

Saya mula menulis pada tahun 1954, ketika berada dalam Form 2 St. Michael’s School Alor Setar. Bersama-sama dengan Sdr. Nahmar Jamil, Zam Malaya (Dato’ Zainuddin Maidin), Abhan (Allhyarham Hj.Asmawi Md Noh), Nikmaty (Allahyarham Us. Nikmat Yusof) dan beberapa orang lagi penulis muda sekitar Bandar Alor Setar, kami menulis dalam Utusan Kanak-Kanak, Majallah Tunas, Majallah Angkatan, Majallah Belia, Warta Mingguan dan Mingguan Pedoman. Di sinilah tempat kami mengasah bakat hingga akhirnya lahir antaranya penulis-penulis tersohor masa kini seperti sdr Nahmar Jamil dan sdr Zam. Kami menulis dalam pelbagai genre khususnya puisi, cerpen dan rencana.

Saya berhenti menulis ketika berhijrah ke Pulau Pinang melanjutkan pelajaran pada tahun 1958. Di Pulau Pinang saya menyertai Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan sekali gus melibatkan diri dalam aktiviti-aktivitinya. Bersama-sama dengan sdr Sanusi Osman (orang kuat Parti Rakyat ketika itu), sdr Subki Latif dan Allahyarham sdr Asmawi Md Noh kami bergiat dalam pementasan, penulisan skrip dan drama.

Tahun 1964/65 saya mengikuti Latihan Perguruan di Maktab Perguruan Bahasa, Lembah Pantai Kuala Lumpur. Minat saya kepada sastera sudah berubah kepada muzik. Tak hairanlah saya memilih muzik sebagai opsyen saya. Namun demikian minat ini terpendam begitu saja setelah saya ditugaskan mengajar matematik dan bahasa Inggeris kemudiannya, hingga pada tahun 1972 saya ditawarkan mengikuti Kursus Khas Muzik selama setahun di Maktab Perguruan Ilmu khas Cheras Kuala Lumpur.

Tahun-tahun 1973 hingga di ambang persaraan saya pada 1994 menyaksikan saya terlibat secara sepenuh masa dengan Pendidikan Muzik seperti mencipta lagu, menulis lirik, memimpin koir, mengendali pancaragam sekolah hatta terlibat secara langsung merancang Program Muzik KBSR Peringkat Kebangsaan dan Negeri sejak tahun 1982.
Pasca persaraan saya, minat kepada sastera tiba-tiba kembali bersemi di sudut hati. Semuanya berpunca dari perlantikan saya mengendalikan Buletin Pesara Kerajaan Malaysia Negeri Kedah. Mulai saat ini saya mula berjinak-jinak dengan penulisan, mula berkenalan dengan ahli-ahli ASASI terutama Sdr Zaidin Abadi. Beliau orang yang pertama memperkenalkan saya Sastera Alam Siber, diikuiti Sdr Brirasa dan Sdr Azmi Rahman termasuk beberapa orang lagi penulis hingga saya dapat mengenali secara dekat Sdr Founder eSastera.com, Sdr Dr.Irwan.

Alhamdulillah, pada usia senja ini Allah mendorong saya supaya kembali mencurah bakti saya kepada dunia sastera dalam bentuk Sastera Siber.

Renungan: Ketika mulai belajar menulis pada tahun 1945 dahulu, kami menulis dan melakarkan imej di atas papan batu, kini tahun 2011 saya kembali menulis dan melakarkan imej di atas papan yang sama yang dikenali dengan skrin monitor.

No comments:

Post a Comment