Friday 3 June 2011

SEDIKIT SUMBANGAN BUAT GENERAI AKAN DATANG

SEDIKIT  SUMBANGAN  BUAT GENERASI  AKAN  DATANG

BERMULA tahun 1954 ketika masih Form 2, saya mula menulis dalam Uusan Kanak- Kanak  dan Majalah Tunas kemudian diikuiti  dalam Warta Mingguan, Majalah Belia dan Mingguan Pedoman. Memang menjadi kegilaan ketika itu bagi penulis-penulis memakai nama-nama samaran. Saya juga tidak terkecuali. Nama yang biasa saya guna ialah Makhbar (mim-kho-ba-ra) Kedah,  Api Negara, MM dan beberapa yang lain. Di antara genre yang saya minati ialah puisi.

Pembacaan saya tertumpu kepada karya penulis-penulis Indonesia seperti Amir Hamzah, Sutan Takdir Ali Shahbana, Abdul Muis, Hamka, Chairil Anwar, Asrul Sani, H.B. Yasin dan ramai lagi. Di antara penulis-penulis tanahair yang menjadi idola saya ketika itu termasuk Masuri SN, Tongkat Warrant, Salmi Manja, A.Samad Said, Hamzah, Ashraf dan beberapa lagi.

Kebanyakan hasil karya saya ketika itu terutama puisi-puisi  telah musnah dan hilang disebabkan berlaku perpindahan. Yang masih ada dalam simpanan cuma beberapa buah seperti yang tercatat di bawah:

·        Sajak “Tuhanku” tersiar dalam Majalah Tunas pada 28 Ogos 1955.. Sajak “Pulang Dari Neraka” Tersiar dalam Majalah Pedoman pada 2 Mac 1956, sajak “Pagi Menyingsin dalam Majalah Pati, Mac 1956, “Kota Yang Bersejarah” dalam Warta Mingguan, 26 April 1956, sajak berjudul “Sajak” tesiar dalam Majalah Angkatan pada Jun-Julai 1957 dan beberapa lagi yang tidak dapat dikesan.  
·        Tahun 1958 menulis dalam majalah sekolah “The Lighthouse” rencana bertajuk “Masa Sakit Sama Menjerit, Masa Senang Sama Berdendang.”
·        Tahun 1959 memenangi  hadiah sahu hati Peraduan Menulis Cerpen Kanak-Kanak anjuran DBP berjudul “Udin Tertidur”
(Tersiar dalam Kumpulan Cerita Kanak-Kanak  3 – DBP)
·        Antara tahun 1964 hingga 1999 kurang menghasilkan penulisan sastera tetapi banyak terlibat dengan muzik pendidikan :
-       Mencipta lagu dan lirik untuk kanak-kanak. Lagu “Naik keretapi” dipilih untuk siaran radio, Program Senandung Kanak-Kanak pada 21 Mac 1980.
-       “Di mana Bumi Kupijak” dan “Malaysiaku Abadi memenangi hadiah saguhati Pertandingan Lagu-Lagu Patriotik anjuran RTM
-       Lagu “Harapan Bangsa” dipilih untuk nyanyian murid-murid
Tahun 3 KBSR dalam Buku Lagu Tahun 3 untuk Sekolah Kebangsaan (1982)
-       “Berjimat Semasa Muda”  memenangi hadiah Naib Johan
Pertandingan Mencipta Lagu Bank Simpanan Nasional pada September 1976.
-       Mencipta lagu dan lirik untuk sekolah:
SM Alor Janggus Alor Setar
SK Taman Uda Alor Setar
SM Tunku Abdul Rahmam, Alor Setar
SK Pokok Asam Pendang.
SK Wan Sulaiman Sidiq Alor Setar
-       Mengendalikan Majalah Sekolah, SM Puteri, Kota Bharu
dan SK Taman Uda, Alor Setar.
                 -    Menulis artikal muzik berjudul “ Muzik Patut Dijadikan Pelajaran
     Mesti” disiarkan dalam Berita Harian pada 5 September 1973.
-    Menulis buku muzik (buku rujukan berkulit keras) bertajuk
     “Penggunaan Alat-Alat Muzik Dalam Pelajaran Dan
     Pembelajaran” oleh Delmu (M) Sdn Berhad, cetakan pertama
     Tahun 1994.
-       Menulis lirik lagu dan nasyid:
“Lagu Pesara Negeri Kedah”
“Waktu Masih Muda”
“Cintaku”
“Iqraq”, “Ibadat”, “Al Quran”
“Tengku Mohamad Jewa Dalam Kenangan” dll.
·        Antara tahun 2000 hingga 2011 saya kembali kepada penulisan sastera setelah dilantik sebagai editor mengendalikan Buletin Pesara “Warisan”
·        Menulis cerpen “Bunga Durian” disiar dalam Buletin Warisan
“Harga Sebuiah Kemerdekaan” disiar dalam Utusan Melayu (sisipan), tiga keluaran.
“Pertemuan” memenangi hadiah saguhati Sayembara Cerpen Formula Malaysia
“Warkah” dalam Antologi Cerpen Kemerdekaan memenangi hadiah Naib Johan Sayembara Cerpen dalam tulisan jawi anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Negara.
  • “Pengembaraan Sang Kodok” memenangi hadiah saguhjati Peraduan Mengarang Cerita Bersiri Kanak-Kanak Dan Remaja Karyanet 2006 anjuran DBP.
  • Menulis rencana lawatan “Dermawan Malaysia Bina Masjid di Kambodia” tersiar dalam Utusan Melayu sisipan pada 21 Januari 2008.
  • Menulis beberapa puisi dan soneta dalam Utusan Melayu (sisipan) dan Berita Harian (Sabtu).
  • Menulis lebih kurang 60 Sajak,  23 Soneta,  5 Pantun,  20 Sajen, 6 Poem dan 2 Drama Pentas .dan 2 Ulasan Soneta dalam eSastera.com.
  • Memenangi tempat kedua Sayembara ASMAS (Soneta) HESCOM 2010 di Shah Alam.
  • Beberapa puisi dipilih untuk dimuatkan bersama dalam  “Antologi Puisi Musibah Gempa Padang” “Arfrini Adham”, “Himpunan Karya Puisi E-Sastera.Com Untuk Program Menyulam Puisi”, Program ‘Malam Nostalgia’ Bersama YB Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim”, “Antologi Puisi Tangan Dominasi” dan “Antologi Puisi Sepiak Pinang Semamah Sirih”

Sekadar ini sumbangan yang dapat di hidangkan buat generasi akan datang. Selagi ada kudrat yang dikurniakan Allah, selagi itulah saya akan terus menulis
                
                            Mokhtar Rahman                                                           1 Jun 2011

     

Thursday 24 March 2011

WAKAF-WAKAF PERSINGGAHAN


WAKAF-WAKAF PERSINGGAHAN

Saya mula menulis pada tahun 1954, ketika berada dalam Form 2 St. Michael’s School Alor Setar. Bersama-sama dengan Sdr. Nahmar Jamil, Zam Malaya (Dato’ Zainuddin Maidin), Abhan (Allhyarham Hj.Asmawi Md Noh), Nikmaty (Allahyarham Us. Nikmat Yusof) dan beberapa orang lagi penulis muda sekitar Bandar Alor Setar, kami menulis dalam Utusan Kanak-Kanak, Majallah Tunas, Majallah Angkatan, Majallah Belia, Warta Mingguan dan Mingguan Pedoman. Di sinilah tempat kami mengasah bakat hingga akhirnya lahir antaranya penulis-penulis tersohor masa kini seperti sdr Nahmar Jamil dan sdr Zam. Kami menulis dalam pelbagai genre khususnya puisi, cerpen dan rencana.

Saya berhenti menulis ketika berhijrah ke Pulau Pinang melanjutkan pelajaran pada tahun 1958. Di Pulau Pinang saya menyertai Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan sekali gus melibatkan diri dalam aktiviti-aktivitinya. Bersama-sama dengan sdr Sanusi Osman (orang kuat Parti Rakyat ketika itu), sdr Subki Latif dan Allahyarham sdr Asmawi Md Noh kami bergiat dalam pementasan, penulisan skrip dan drama.

Tahun 1964/65 saya mengikuti Latihan Perguruan di Maktab Perguruan Bahasa, Lembah Pantai Kuala Lumpur. Minat saya kepada sastera sudah berubah kepada muzik. Tak hairanlah saya memilih muzik sebagai opsyen saya. Namun demikian minat ini terpendam begitu saja setelah saya ditugaskan mengajar matematik dan bahasa Inggeris kemudiannya, hingga pada tahun 1972 saya ditawarkan mengikuti Kursus Khas Muzik selama setahun di Maktab Perguruan Ilmu khas Cheras Kuala Lumpur.

Tahun-tahun 1973 hingga di ambang persaraan saya pada 1994 menyaksikan saya terlibat secara sepenuh masa dengan Pendidikan Muzik seperti mencipta lagu, menulis lirik, memimpin koir, mengendali pancaragam sekolah hatta terlibat secara langsung merancang Program Muzik KBSR Peringkat Kebangsaan dan Negeri sejak tahun 1982.
Pasca persaraan saya, minat kepada sastera tiba-tiba kembali bersemi di sudut hati. Semuanya berpunca dari perlantikan saya mengendalikan Buletin Pesara Kerajaan Malaysia Negeri Kedah. Mulai saat ini saya mula berjinak-jinak dengan penulisan, mula berkenalan dengan ahli-ahli ASASI terutama Sdr Zaidin Abadi. Beliau orang yang pertama memperkenalkan saya Sastera Alam Siber, diikuiti Sdr Brirasa dan Sdr Azmi Rahman termasuk beberapa orang lagi penulis hingga saya dapat mengenali secara dekat Sdr Founder eSastera.com, Sdr Dr.Irwan.

Alhamdulillah, pada usia senja ini Allah mendorong saya supaya kembali mencurah bakti saya kepada dunia sastera dalam bentuk Sastera Siber.

Renungan: Ketika mulai belajar menulis pada tahun 1945 dahulu, kami menulis dan melakarkan imej di atas papan batu, kini tahun 2011 saya kembali menulis dan melakarkan imej di atas papan yang sama yang dikenali dengan skrin monitor.

Thursday 10 March 2011

SUATU PERJALANAN JAUH

SUATU  PERJALANAN  JAUH
SAYA ,  Mohd Mokhtar b Abd Rahman  atau  PENA saya, mokhtarahman.  12 Lrg. Bayu, Jalan Sultanah 05350 Alor Setar Kedah Darul Aman. E-mel: mokhtarahman@yahoo.com. Blogspot: MOKHTARAHMAN.
LAHIR,   72 tahun lalu di Kampung Tok Paduka, Kangar Perlis tapi dibesarkan di Kampung Seberang Perak Alor Setar Kedah.

PERSEKOLAHAN,   Bermula dengan Sekolah Melayu Seberang Perak (L), Darjah 1 hingga 5, menyambung pelajaran di St.Michael’s School Alor Setar tahun 1952 dan Methodist Afternoon School  (MAS) Pulau Pinang hingga tamat School Cetificate dengan Grade 2, tahun 1960.
Form 5 (1960) Penulis duduk paling kiri
KARIER,   Tahun 1961- 1963 menjadi  guru sementara di  Phor Tay Girl High School  dan Kelas Komersialnya di Pulau Pinang.
1964/65, mengikuti  Latihan Perguruan di Maktab Perguruan Bahasa (LI) Lembah Pantai Kuala Lumpur. 1966 mula bertugas sebagai guru terlatih di SMR Bukit Jawa, Selising Pasir Puteh (selama 5 bulan), kemudian bertukar ke SMR  Puteri, Kompleks  Sekolah-Sekolah Kota Bharu hingga 1969. Tahun 1970, bertukar ke SM Tunku Putera Baling Kedah hingga 1971 dan tahun berikutnya mengikuti  Kursus Khas Muzik di    Maktab Perguruan Khas Cheras Kuala lumpur.
Tamat kursus. Tahun 1973 mula berkhidmat sebagai Guru Muzik Beredar berpusat di SM Alor Janggus. Tahun1979 berpindah pusat ke SM Tun Sharifah Rodziah Alor Setar dan 1984 sekali lagi berpindah pusat ke SM Sultanah Asma Alor Setar hingga 1988.
Tahun berikutnya dilantik sebagai Penyelia Muzik Negeri, di Unit Kurikulum, Jabatan Pendidikan Kedah hingga 1991. 1992 kembali  ke sekolah sebagai Penyelia Petang di SK Taman Uda  Jalan Sultanah,  Alor Setar hingga persaraan pada 23 September  1994.
Lepas persaraan,  diterima sebagai Guru Kontrak Bahasa Inggeris selama 4 tahun di SK Pokok Asam Pendang Kedah.  Tahun 1999, sekali lagi menyambung tugas sebagai guru Bahasa Inggeris di Pusat Ilmu Isyakiah, Pulau Pisang, Jitra Kedah yang dikendalikan oleh Dato’ Ghazi Sheikh Ramli, bekas senator  parlimen hingga 2003. Sejak tarikh itu, khidmat tertumpu kepada Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Negeri Kedah, Kelab Warga Emas dan sedikt kebajikan buat Masjid dan lokaliti.